KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan dakwaan bahawa rombakan Kabinet akan dilakukan dalam masa terdekat, seperti yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.
Johari menegaskan, setakat ini tiada sebarang perbincangan mahupun taklimat rasmi berkaitan perkara itu diadakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Saya rasa tak ada… mana ada reshuffle semua ni. Itu prerogatif Perdana Menteri, kuasa mutlak dia. Kalau ada, mesti dia maklumkan atau bagi taklimat kepada kami. Tapi setakat ini, memang tak ada apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Expo Perkayuan 2025, hari ini.
Kenyataan Johari itu sekaligus menolak khabar angin yang tersebar susulan pendedahan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu semalam bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan satu taklimat khas bersama anggota Kabinet pada Selasa.
Desas-desus rombakan Kabinet semakin kuat selepas beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan kerajaan, termasuk peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi baru-baru ini.
Spekulasi turut meningkat apabila tempoh pelantikan dua senator yang juga menteri Kabinet iaitu Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi) dan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) yang dijangka tamat pada Disember ini.
Selain itu, dua lagi menteri, Datuk Seri Rafizi Ramli (bekas Menteri Ekonomi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) turut meletakkan jawatan mereka beberapa bulan lalu.










