PELABUHAN KLANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera di leher selepas terkena tali yang direntang di kawasan padang berhampiran rumahnya di Taman Kem, petang Rabu.
Mangsa, Muhammad Iman Hazri, dilaporkan sedang bermain basikal bersama rakan-rakan kira-kira jam 6 petang ketika melalui kawasan padang yang sedang dalam kerja ubah suai sebelum lehernya tersangkut pada tali berkenaan.
Menurut ibu mangsa, Irnawati Sadali, 48, anak bongsunya itu tidak menyedari terdapat tali direntang di bahagian belakang deretan gerai berhampiran kawasan padang tersebut.
“Saya sangka kontraktor hanya pasang tali di bahagian depan tapak kerja, rupanya ada juga di belakang. Paling saya kesal, tiada tanda amaran atau papan peringatan diletakkan. Budak-budak pun tak tahu kawasan itu bahaya,” katanya ketika dihubungi.
Irnawati berkata, anaknya mengalami luka di bahagian leher sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut.
“Doktor beritahu luka hanya di permukaan kulit dan tidak menjejaskan urat. Tapi mereka minta pantau enam jam bagi pastikan tiada bengkak. Syukur, suara anak saya pun masih baik,” katanya.
Tambahnya, penduduk memaklumkan pihak kontraktor telah mengakui memasang tali berkenaan dan bersedia bertanggungjawab terhadap insiden itu.
“Dia (kontraktor) sudah mengaku kepada persatuan penduduk dan janji akan bertanggungjawab. Tapi saya tetap akan buat laporan polis selepas dapat laporan doktor, saya tak mahu nanti pihak pemaju salahkan budak-budak pula,” jelasnya.
Irnawati yang juga ibu tunggal berkata, anaknya pulang ke rumah dalam keadaan leher berdarah dengan bantuan rakan-rakan selepas kejadian tersebut.










