KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, meluangkan hampir sembilan jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung perjanjian strategik kerajaan bernilai RM1.1 bilion.
Ahli Parlimen Pandan itu tiba sekitar 9.30 pagi sebelum meninggalkan bangunan berkenaan kira-kira jam 6.50 petang selepas selesai memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat.
Siasatan tertumpu kepada dakwaan salah laku melibatkan kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings, yang melibatkan nilai keseluruhan RM1.1 bilion.
Seawal pagi, suasana di luar ibu pejabat SPRM turut menyaksikan kehadiran kira-kira 50 penyokong yang berkumpul sebagai tanda solidariti terhadap Rafizi termasuk beberapa pemimpin PKR seperti Wong Chen, Lee Chean Chung dan Rodziah Ismail.
Minggu lalu SPRM menyoal siasat bekas pegawai Rafizi, James Chai, selama tiga hari bagi membantu siasatan kes sama.
Untuk rekod, kerajaan Malaysia sebelum ini memperuntukkan sebanyak USD225 juta (RM930.52 juta) bagi tempoh empat tahun untuk menjayakan kerjasama dengan Arm Holdings.
Inisiatif itu bertujuan membuka akses kepada harta intelek serta teknologi syarikat tersebut kepada pemain industri tempatan, sekali gus merancakkan pembangunan sektor semikonduktor negara.










