PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menyifatkan nasib Jahidah Nordin yang cedera akibat dipukul bekas suami sebagai “hidup pada nama sahaja”, susulan kecederaan parah yang memusnahkan kehidupannya secara kekal.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata, tindakan Rosmaini Abdul Raof bukan sahaja melanggar kepercayaan dalam perkahwinan, malah menyebabkan mangsa berada dalam keadaan vegetatif tanpa harapan untuk pulih, sehingga diibaratkan seperti “mayat hidup”.
Menurut mahkamah, mangsa yang ketika itu hamil berada dalam keadaan sangat terdedah, namun tertuduh tidak menunjukkan penyesalan, malah gagal memberi sebarang bantuan selepas kejadian.
Kesan keganasan itu turut menjejaskan anak yang dikandung apabila dilaporkan mengalami kelewatan perkembangan dan kecacatan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah memutuskan untuk menaikkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada maksimum 14 tahun, selepas mendapati hukuman sebelum ini tidak mencerminkan tahap keganasan serius yang dilakukan.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmaini, 43, membayar pampasan RM25,000 kepada mangsa melalui wakil keluarganya, dengan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tambahan enam bulan penjara.
Dalam penghakiman, mahkamah menegaskan kecederaan dialami Jahidah termasuk pendarahan otak, patah tulang dan kerosakan neurologi teruk adalah konsisten dengan serangan berulang, sekali gus menolak dakwaan pembelaan mengenai kemungkinan campur tangan pihak ketiga.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan balas pendakwaan untuk hukuman lebih berat, selain menolak rayuan akhir tertuduh terhadap sabitan dan hukuman asal.










