SHAH ALAM: Semua pihak diingatkan supaya menghentikan sebarang tindakan melampau khususnya melibatkan isu sensitif berkaitan raja, agama dan kaum (3R) demi menjaga keharmonian negara.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peringatan itu susulan beberapa insiden penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk satu hantaran di media sosial yang mencetuskan kemarahan ramai.
Menurut beliau, institusi diraja perlu dihormati dan dilindungi kerana peranannya sebagai lambang perpaduan rakyat serta kedaulatan negara, yang tidak seharusnya dicemari oleh perbezaan politik atau pandangan.
“Walaupun wujud perbezaan dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja dalam politik tetapi juga perkara lain, kita perlu mengelakkan sebarang bentuk penghinaan kerana itu asas kepada keharmonian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan sebanyak 280 laporan polis telah diterima setakat semalam berhubung penyebaran karikatur berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor yang tular sejak 25 April lalu.
Katanya, laporan berkenaan dibuat oleh pelbagai pihak dari seluruh negara sebagai tanda bantahan terhadap tindakan provokatif tersebut.
Sementara itu, Amirudin turut memaklumkan kerajaan negeri akan melaksanakan audit keselamatan terhadap longkang berisiko di Selangor susulan kejadian dua kanak-kanak lemas baru-baru ini yang menimbulkan kebimbangan awam.
Beliau menjelaskan, audit berkenaan akan melibatkan penilaian menyeluruh termasuk keadaan fizikal longkang serta faktor persekitaran yang boleh menyumbang kepada kejadian tidak diingini.
Namun tegasnya, aspek keselamatan tidak boleh dipikul oleh pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa serta masyarakat bagi mengelakkan tragedi berulang.










