Anwar Tegas Kepada Trump: “Gaza Tak Selesai Dengan Gencatan Senjata Sementara”

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bahawa konflik Gaza tidak akan pernah berakhir sekadar dengan pelan gencatan senjata sementara, sebaliknya memerlukan penyelesaian menyeluruh yang mengiktiraf kedaulatan Palestin.

Anwar berkata, pendirian tegas Malaysia itu disampaikan secara langsung kepada Trump dalam siri pertemuan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung baru-baru ini.

“Saya nyatakan kepada Presiden bahawa isu Gaza mesti diselesaikan secara menyeluruh. Saya tidak guna istilah ‘20-point ceasefire’ (Pelan Damai Trump), tetapi saya tekankan istilah ‘comprehensive settlement’ kerana penyelesaian sebenar hanya berlaku jika hak mutlak rakyat Palestin diiktiraf,” katanya ketika menjawab soalan di sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar turut mendedahkan bahawa pertemuan itu menyentuh secara mendalam isu kemanusiaan dan keamanan di Timur Tengah.

“Saya beritahu beliau, saya pernah berjumpa dengan pemimpin Hamas dan beliau agak terkejut. Saya jelaskan, kita tidak berpihak membuta tuli, tetapi berpegang kepada prinsip kemanusiaan dan keadilan,” ujarnya.

Menurut Anwar, kerajaan Malaysia konsisten mendesak penyelesaian komprehensif isu Gaza dalam semua platform antarabangsa, termasuk dalam rangka lawatan Trump ke negara ini dan di setiap sesi diplomatik ASEAN.

Beliau menegaskan, selagi dunia hanya menumpukan kepada “gencatan senjata jangka pendek”, penderitaan rakyat Palestin tidak akan berakhir.

“Tiada makna hentikan serangan hari ini jika hak mereka untuk hidup bebas di tanah sendiri tidak diiktiraf,” katanya lagi.

Menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH–Pulai) yang ingin tahu manfaat lain hasil pertemuan dengan Trump, Anwar menjelaskan bahawa perbincangan bukan hanya berkisar kepada perdagangan, tetapi turut menyentuh isu kemanusiaan, keselamatan serantau dan kerjasama strategik Malaysia–AS.

Beliau berkata, pendekatan diplomasi Malaysia tetap berpegang pada prinsip keadilan sejagat tanpa mengira tekanan geopolitik mana-mana pihak.

Anwar menegaskan, pendirian Malaysia mengenai Gaza bukan soal politik semata-mata, tetapi berteraskan nilai kemanusiaan dan maruah sejagat.

“Kita akan terus bersuara untuk Gaza bukan atas kepentingan mana-mana blok kuasa, tetapi atas dasar prinsip dan keadilan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles