KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan kesediaannya untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menghentikan kekejaman berterusan rejim Israel yang dilihat semakin keterlaluan dalam mencabuli hak asasi manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan segera menghubungi beberapa pemimpin utama dunia Islam termasuk Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani; Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman; serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi membentuk sokongan bersama.
“Kalau perlu, saya sendiri akan menghubungi Emir Qatar, Erdogan, Putera Mahkota Mohammed Salman dan beberapa pemimpin lain. Kita perlu fikir langkah bersama kerana kebiadapan Israel ini sudah sampai ke tahap luar batas,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 (ICOSH 2025), hari ini.
Serangan udara Israel di Doha, Qatar semalam mencetuskan kejutan besar apabila pejabat kepimpinan kanan Hamas menjadi sasaran.
Letupan kuat menggegarkan kawasan Leqtaifiya dan Katara, manakala media antarabangsa mengesahkan serangan itu mengenai pasukan perunding Hamas yang berada di ibu negara berkenaan.
Serangan itu dipercayai bertujuan menggagalkan rundingan gencatan senjata Gaza yang sedang diusahakan.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan sistem dunia hari ini sudah gagal kerana membiarkan sebuah negara melakukan jenayah tanpa dikenakan tindakan sewajarnya.