KUALA LUMPUR, – Syarikat pengeluar peranti rokok elektronik tempatan, Nanostix Innovations Sdn Bhd (Nanostix) petang ini menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kajian menyeluruh dilakukan bagi membanteras penyalahgunaan vape mengandungi dadah, khususnya dalam kalangan remaja.
Dalam satu kenyataan, Nanostix berkata pihaknya menyambut baik kebimbangan yang dizahirkan Perdana Menteri berhubung peningkatan penglibatan anak Melayu dalam penyalahgunaan dadah menerusi peranti vape.
“Gejala penyalahgunaan dadah melalui vape ini adalah satu cabaran baharu yang tidak boleh dipandang ringan. Sebagai syarikat tempatan yang berdaftar dan mematuhi kawal selia ketat, kami komited bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani isu ini secara menyeluruh,” kata Pengarah Urusannya Nanostix, Shahabudeen Jalil.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu penularan dadah dan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan generasi muda dibincangkan secara serius serta dirangka jalan penyelesaian yang tuntas.
Perdana Menteri menegaskan, masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu belum menemui penyelesaian berkesan, meskipun pelbagai pendekatan digerakkan sebelum ini.
“Kita lihat orang Melayu ini (masalah) dadahnya berat, tadi mesyuarat Jemaah Menteri kita bincang masalah dadah dan vape dalam kalangan anak anak kita, tolonglah bincang, carilah jalan kaedah mana pun.
“Apakah perlu dana? Apakah perlu kaunseling? Perlu dakwah? Beritahulah kerana berpuluh tahun kita fikir (masalah ini) belum selesai.
Sementara itu, Nanostix turut mengemukakan enam cadangan strategik bagi memperkukuh kawalan terhadap penyalahgunaan vape dadah yang diantaranya adalah Penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia, Sekatan Menyeluruh terhadap Import Vape, kerana produk peranti dan cecair vape dari luar negara, khususnya yang tidak berdaftar, kerana berisiko dicemari dadah atau bahan terlarang.
Pengharaman Peranti ‘Open Pod’ dan Penjualan Cecair Secara Terbuka, Serta Penguatkuasaan di Sempadan dan Premis Jualan dan Penjualan Produk Sah Sahaja.
Syarikat itu juga turut Menyarankan hanya produk daripada syarikat berdaftar yang mematuhi garis panduan ketat, termasuk semakan usia, ujian makmal dan pelekat cukai dibenarkan di pasaran.
Dan Kempen Kesedaran di Sekolah dan Institusi Pendidikan serta Menyeru pelaksanaan program pendidikan dan kesedaran secara besar-besaran kepada pelajar dan belia mengenai bahaya vape mengandungi dadah.
Menurut Nanostix, industri vape yang berdaftar dan dikawal menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara dengan mewujudkan puluhan ribu pekerjaan langsung dan tidak langsung.
Tambah Syarikat itu lagi, sejak pelaksanaan cukai eksais ke atas cecair vape nikotin, kerajaan telah mengutip ratusan juta ringgit yang menyumbang kepada hasil negara. Nanostix juga melabur dalam kemudahan pengeluaran, makmal kawalan kualiti dan inovasi teknologi tempatan.
“Adalah penting untuk membezakan antara industri yang sah dan dikawal, dengan aktiviti haram yang menyimpang daripada tujuan asal kawal selia,” tegas Shahabudeen.
Nanostix menegaskan kesediaannya untuk menjadi rakan strategik kerajaan dalam memacu penyelesaian menyeluruh, yang berpaksikan kepada keselamatan awam, kawalan ketat dan kepentingan ekonomi negara.