Perbalahan Semakin Serius, Bersatu Ibarat ‘Retak Menunggu Belah’?

KUALA LUMPUR: Kewujudan dua puak di dalam kepimpinan Bersatu sudah tidak dapat disembunyikan lagi dan didakwa menimbulkan kebimbangan mengenai kestabilan dalaman parti itu.

FMT melaporkan sumber dalaman parti itu sebagai berkata, keretakan ini bermula pada Julai tahun lalu apabila Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggariskan pelan peralihan kuasa yang menyaksikan Datuk Seri Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding sebagai timbalan presiden pada pemilihan November lalu.

Manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai setiausaha agung Bersatu.

Pelan itu, yang dicetuskan oleh Muhyiddin bagaimanapun, tidak disenangi oleh beberapa pihak di dalam parti dengan kem Azmin bertegas Muhyiddin perlu kekal menerajui Bersatu, manakala satu lagi kem mahu Hamzah mengambil alih kepimpinan.

“Pelan peralihan kuasa sudah jelas, tetapi ada pihak dalam kem Azmin yang percaya hanya Muhyiddin boleh memimpin Bersatu menghadapi PRU16.

“Kem satu lagi yang menyokong Hamzah bertegas pelan peralihan mesti dihormati. Kata mereka, jika Bersatu sendiri gagal mematuhi struktur kepimpinannya, bagaimana pengundi boleh mempercayai parti itu untuk mentadbir negara?” kata sumber berkenaan.

Dikatakan ketegangan dalam parti mula wujud pada Disember 2023 apabila timbul spekulasi bahawa Hamzah hampir disingkirkan susulan isu yang berbangkit dalam kalangan kepimpinan tertinggi.

Menurut sumber yang sama, situasi itu mendorong kepimpinan Bersatu menganjurkan satu permukiman di Gopeng, Perak, di mana satu kata sepakat dicapai antara kem yang bertelagah.

Dalam pertemuan itu, kesepakatan dicapai bahawa Muhyiddin mempunyai kata putus dalam semua keputusan kepimpinan dan beliau menyerahkan jawatan kepada Hamzah apabila tiba masanya.

“Kesepakatan dibuat bagi meredakan ketegangan dalaman dan membolehkan parti memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kedudukan menjelang pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, Azmin menerima jawatan setiausaha agung selepas permukiman tersebut.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu kem Azmin mula mendesak Muhyiddin kekal sebagai presiden hingga PRU16, dengan alasan pengalaman kepimpinan beliau penting bagi mendapatkan keyakinan pengundi.

Hal itu ditentang oleh kem Hamzah yang mahu semua pihak di dalam parti menghormati dan menerima peralihan kuasa seperti dirancang, sambil memberi amaran sebarang perubahan akan mencetuskan ketidakstabilan jangka panjang dalam parti.

“Perpecahan ini semakin ketara. Kem Azmin mahu Muhyiddin terus menerajui parti kerana percaya kepimpinannya boleh menyatukan parti dan mengelak perpecahan dalaman sebelum pilihan raya.

“Tetapi pihak satu lagi berazam mahu pelan peralihan dilaksanakan. Bagi mereka, pelan ini bukan sekadar soal kepimpinan, tetapi juga mengenai integriti dan kredibiliti parti menjelang PRU16,” kata sumber itu.

BBerkaitan

Latest articles