SPRM Sita Wang Tunai RM170 Juta, Jongkong Emas RM7 Juta, Ismail Sabri Diarah Isytihar Harta

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah serta pengubahan wang haram didakwa berkait Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menemukan wang tunai dalam pelbagai mata wang bernilai kira-kira RM170 juta.

Selain itu, serbuan ke atas kediaman empat pegawai kanan Ismail Sabri dan tiga premis lain yang dipercayai digunakan sebagai ‘safe house’, turut menemukan sebanyak 16 kilogram jongkong emas tulen, dianggarkan bernilai hampir RM7 juta, yang turut dirampas.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, SPRM turut memaklumkan bekas Perdana Menteri itu telah mengisytiharkan harta sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Agensi itu juga memaklumkan bahawa siasatan tertumpu kepada perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti sepanjang tempoh pentadbiran Ismail Sabri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

“Bekas Perdana Menteri telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024. Pengisytiharan itu dibuat secara rasmi pada 10 Februari 2025,” menurut kenyataan SPRM.

Selain itu, Ismail Sabri turut hadir ke pejabat SPRM pada 19 Februari 2025 untuk memberikan keterangan.

SPRM tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.

SPRM juga mengesahkan bahawa hampir 10 saksi telah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Dalam kenyataan dua muka surat itu juga SPRM menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.

“Suruhanjaya ini komited untuk memastikan sebarang salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini memaklumkan bahawa lapan individu akan dipanggil bagi membantu siasatan, susulan penahanan empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri itu.

Mereka yang ditahan pada 21 Februari 2025 disyaki terlibat dalam kes rasuah tetapi telah dibebaskan selepas tempoh reman berakhir.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM berkaitan kesalahan meminta dan menerima rasuah, serta undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

Pada tahun lalu, SPRM memulakan siasatan terhadap RM700 juta yang didakwa digunakan untuk tujuan promosi dan publisiti bagi menguar-uarkan pencapaian kerajaan sepanjang dua pentadbiran terdahulu, antara Mac 2020 hingga November 2022.

BBerkaitan

Latest articles