KUALA LUMPUR: Memberi alasan pelbagai isu rakyat yang timbul pada hari ini dan tidak mendapat perhatian kerajaan, Perikatan Nasional (PN) mendakwa ia mampu memiliki peluang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Hal itu dinyatakan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail meskipun menyedari masih terlalu awal untuk meramalkan kemungkinan dibkerusi yang sebelum ini dikuasai Barisan Nasional (BN).
“Tetapi kita yakin jika rakyat berpegang kepada prinsip untuk memperbetulkan apa yang tidak betul dalam kerajaan hari ini dan mahu memberi signal (isyarat) yang tepat kepada kerajaan, maka mereka perlu beri undi kepada PN.
“Ini juga seperti apa yang berlaku pada PRK DUN Sungai Bakap yang mana kemenangan calon PN memberi sedikit kejutan kepada kerajaan untuk tidak melaksanakan dasar-dasar yang membebankan rakyat.
“Tetapi kalau seperti yang berlaku pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang mana undi terus diberikan kepada calon kerajaan, hadiahnya adalah kenaikan harga diesel,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan Bersatu, semalam.
Menyentuh calon yang ingin dikemukakan, Tun Faisal bagaimanapun berkata, perkara tersebut belum dibincangkan lagi.
Malah gabungan itu mahu turun ke lapangan khususnya di Perak terlebih dahulu bagi melihat isu-isu di lapangan serta tahap sokongan semasa rakyat terhadap PN.
“Itu yang kita mulakan dahulu dan perkara sama juga kita akan lakukan dengan turun ke Sabah untuk tinjauan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan seterusnya akan fokus pula di Melaka,” katanya.
Kerusi DUN Ayer Kuning kosong berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada Sabtu lalu.
Ishsam, 59, meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang, akibat serangan jantung selepas dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.
Untuk rekod, Ishsam yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi menewaskan empat calon lain.