KUALA LUMPUR: Malang menimpa seorang lelaki warga emas selepas dipercayai dilanggar tren sebelum mayatnya ditemui di bawah rel kereta api di Stesen LRT STAR Titiwangsa, pagi ini.
Lelaki berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan itu dipercayai terjatuh di kawasan rel sebelum dipercayai dilanggar tren yang melintasi kawasan berkenaan.
Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 8.38 pagi menerusi panggilan MERS-999 dan Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sentul serta BBP Titiwangsa diarah ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai hilang keseimbangan lalu terjatuh tanpa disedari oleh pemandu kereta api.
“Proses pengalihan mayat dari lokasi kejadian sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
“Semua tindakan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepanjang pengalihan mayat dibuat,” katanya di sini, hari ini.
Pihak berkuasa meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain pemeriksaan rekod operasi kereta api pada waktu kejadian.