Wanita Terbabit Kes Curi Beg Tangan di Majlis Kahwin Ditahan Semula

TUMPAT: Seorang wanita berusia 61 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian beg tangan mengandungi wang tunai ketika menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas, telah ditahan semula untuk siasatan lanjut berkaitan kes serupa di Tumpat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata wanita berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas sebaik tempoh remannya selama empat hari tamat sebelum dibawa ke IPD Tumpat bagi membantu siasatan.

Turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 60-an, dipercayai suami suspek, yang disyaki terlibat dalam kejadian sama.

Menurut Mohd Khairi, pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan sebuah beg tangan yang mengandungi wang tunai RM3,000 dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Periok, Chabang Empat pada 22 Februari tahun lalu.

“Mangsa, seorang lelaki berusia 60 tahun, mendakwa seorang wanita berpura-pura menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya sebelum menceroboh masuk ke bilik tidur dan mencuri beg tangan milik isterinya yang mengandungi wang tunai RM3,000,” katanya.

Melihat kepada modus operandi yang serupa dengan kes di Pasir Mas, pihak polis bertindak menahan semula wanita terbabit sebaik sahaja tempoh remannya di IPD Pasir Mas berakhir.

Wanita itu kini direman selama empat hari sehingga 24 Februari bagi siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, manakala suaminya direman selama dua hari.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Mejar Norhafeza Jusoh, di talian 09-7257222.

BBerkaitan

Latest articles