KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 52 tahun yang disyaki cuba mencuri dalam pesawat semalam.
Menurut kenyataan Polis Barat Daya, kejadian berlaku pada pukul 12 tengah hari ketika penerbangan dari Subang, Selangor ke Pulau Pinang.
Seorang penumpang menyedari seorang individu yang tidak dikenali sedang membuka bagasinya lalu segera memaklumkan kepada kru penerbangan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas.
Hasil siasatan mendapati tiada barang berharga yang hilang, namun suspek tetap ditahan untuk siasatan lanjut.
Polis juga akan memohon perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Balik Pulau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.