Saksi Beritahu Ismanira Tidak Beri Reaksi Ketika Disoal Siasat

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, tidak memberikan jawapan atau sebarang reaksi ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat di kawasan kediamannya berhubung siasatan kehilangan anaknya.

Pegawai penyiasat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, menyatakan bahawa Ismanira kelihatan ‘kosong’ dan tidak beremosi ketika ditanya mengenai kehilangan anaknya, demikian memetik laporan Malaysia Gazette.

Keterangan itu diberikan ketika Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, meminta beliau menjelaskan keadaan Ismanira ketika percakapan dirakam di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Ketika memberikan keterangan, Nina Syamimi sempat terhenti seketika kerana gagal menahan emosi sebelum menyambung semula keterangannya.

**Aqharie:** “Boleh jelaskan mengapa kenyataan diambil di lokasi tersebut?”
**Nina Syamimi:** “Untuk melihat tempat kejadian. Saya dapati bersebelahan Blok R terdapat saliran air, longkang, belukar, dan semak samun. Keadaan pengadu ketika itu…”

**Aqharie:** “Inspektor, anda okay?”
**Nina Syamimi:** “Ketika itu saya bertanya kepada pengadu, tetapi pengadu tidak dapat menjawab…” (saksi terhenti dan sebak).

Pada ketika itu, peguam bela, Ramzani Idris, membantah keterangan saksi atas alasan ia dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan kemudiannya dijadikan sebagai percakapan beramaran. Beliau juga memohon supaya kenyataan tersebut dibekalkan kepada pihak pembelaan, yang kemudiannya dibenarkan oleh mahkamah dan diserahkan oleh pendakwaan.

Dalam keterangannya, Nina Syamimi memaklumkan bahawa beliau menerima laporan mengenai kehilangan Zayn Rayyan daripada ibunya pada pukul 5.51 petang, 5 Disember 2023, ketika sedang menjalankan siasatan lain di Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata laporan itu diterima melalui panggilan telefon dari Balai Polis Sri Damansara, berkaitan kehilangan kanak-kanak autisme tersebut.

Mahkamah kini sedang mendengar perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin.

Menurut pertuduhan, kedua-duanya sebagai penjaga didakwa mengabaikan anak mereka yang berusia enam tahun dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember, hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok.

BBerkaitan

Latest articles