Titah Adendum, Kerajaan Derhaka Hangatkan Sidang Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR: Suasana di Dewan Rakyat hari ini menjadi tegang apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin` membangkitkan isu titah adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Larut, mempersoalkan sama ada tindakan menyembunyikan kewujudan titah adendum itu boleh dianggap sebagai penderhakaan terhadap raja dan negara.

“Jika perkara ini benar, ia bermakna kerajaan hari ini telah menderhaka kepada titah diraja.

“Selama setahun ia dipersoalkan tetapi tidak pernah timbul, sehingga mahkamah sendiri mengesahkan kewujudan titah adendum,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen kerajaan, termasuk Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) dan Dr. Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), membantah kenyataan Hamzah.

Hassan menyifatkan kenyataan itu sebagai “terlalu keras dan tidak tepat,” sambil menegaskan bahawa isu titah adendum masih dalam proses mahkamah dan belum selesai.

Dr. Taufiq pula meminta Hamzah menarik balik kenyataan tersebut dan mempersoalkan asas dakwaan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta kerajaan telah menderhaka.

“Tiada sebarang kenyataan daripada Agong yang menyatakan berlakunya penderhakaan,” katanya, sambil merujuk kenyataan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pada 2021 mengenai darurat, yang menurutnya telah menyebabkan Agong berasa “amat dukacita.”

Susulan perdebatan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memutuskan bahawa isu titah adendum tidak lagi boleh dibahaskan dalam dewan.

“Memandangkan ia berada dalam mahkamah mengikut Peraturan Mesyuarat 36(2), dan perkataan ‘derhaka’ juga terikat di bawah Peraturan Mesyuarat 36(7), saya tidak akan membenarkan perbahasan mengenainya.

“Sesiapa yang terus membangkitkan isu ini akan dikenakan tindakan,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles