KUALA LUMPUR: Tular sejak semalam adalah satu rakaman video membabitkan seorang wanita yang didakwa mengambil wang tunai berjumlah RM2,500 di sebuah majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas, Kelantan.
Dalam kejadian pada jam 12.42 tengah hari Sabtu lalu, wanita berkenaan dikatakan menyamar sebagai tetamu untuk menumpang tandas sebelum melarikan wang tunai yang terdapat di ruang tamu.
Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 38 saat itu, wanita bertudung dan memakai baju kurung itu dilihat keluar dari tandas.
Wanita itu kemudiannya ke ruang tamu yang turut terdapat dua kanak-kanak bermain di ruang berkenaan.
Selepas itu, wanita berkenaan mengambil beg tangan yang diletakkan di atas almari dipercayai milik tuan rumah yang mengandungi wang tunai RM2,500.
Dipercayai bahawa wanita berkenaan tidak dikenali oleh tuan rumah dan tidak diundang ke majlis terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung video yang tular itu.