Perbicaraan Kes Ibu Bapa Zayn Rayyan Bermula 3 Februari, Mahkamah Tolak Permohonan Tangguh

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes ibu bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, kanak-kanak autisme berusia enam tahun, akan tetap bermula di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 3 Februari ini walaupun pasangan itu memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan mengabaikan anak mereka.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh membuat keputusan tersebut selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu permohonan pembatalan pertuduhan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Pada tarikh lalu, mahkamah telah meminta pihak-pihak mengemas kini perkembangan notis usul. Oleh kerana permohonan tersebut belum didengar, saya akan meneruskan perbicaraan pada 3 Februari ini,” ujar Hakim Syahliza.

Mahkamah turut mengekalkan jadual perbicaraan selama 15 hari seperti yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari, dan 10 hingga 14 Mac.

Pasangan tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, sebelum ini memfailkan permohonan pembatalan pertuduhan pada 21 Januari lalu dengan harapan untuk dibebaskan daripada dakwaan mengabaikan anak mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menerima salinan notis usul tersebut melalui emel pada Jumaat lalu dan permohonan itu dijadualkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Februari.

Peguam pasangan tersebut, Haresh Mahadevan, meminta tarikh perbicaraan dilapangkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pembatalan pertuduhan.

Menurutnya, meneruskan perbicaraan sebelum permohonan itu didengar boleh memprejudiskan anak guamnya.

Namun, Hakim Syahliza menegaskan bahawa perbicaraan perlu dimulakan seperti yang dijadualkan memandangkan tiada keputusan lagi daripada Mahkamah Tinggi berkaitan permohonan pembatalan tersebut.

“Saya berpendirian bahawa perbicaraan harus diteruskan kerana setakat ini, permohonan pembatalan pertuduhan belum didengar dan tiada keputusan dibuat,” kata beliau.

Pasangan itu didakwa pada 13 Jun tahun lalu atas satu pertuduhan bersama, sebagai penjaga kepada Zayn Rayyan, kerana mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal, di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, pasangan itu mendakwa pertuduhan tersebut tidak mendedahkan sebarang kesalahan mengikut undang-undang.

Mereka mendakwa bahawa tindakan tersebut telah menyebabkan mereka diprejudiskan secara serius, sekali gus menjadikan pertuduhan jenayah itu sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pendakwaan bagaimanapun menegaskan bahawa mereka bersedia untuk meneruskan perbicaraan mengikut jadual.

BBerkaitan

Latest articles