Peningkatan Jenayah Seksual, Aktivis Gesa Guru Agama Ikuti Latihan Perlindungan Kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Trend peningkatan jenayah seksual membabitkan guru agama dan pendakwah selebriti semakin membimbangkan dan memerlukan Tindakan tegas untuk menanganinya.

Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin menggesa guru agama diberi latihan mengenai langkah-langkah perlindungan kanak-kanak, sama seperti pihak lain yang juga menyertai Latihan itu.

“Sesiapa sahaja yang berhubung dengan kanak-kanak mesti dididik tentang hak dan perlindungan kanak-kanak,” katanya sepertimana memetik laporan FMT, hari ini.

Hartini juga mencadangkan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) Kementerian Pendidikan diajar di sekolah agama, dan guru mereka diberi latihan yang sewajarnya supaya mereka menyampaikan maklumat yang betul kepada murid.

Baru-baru ini media melaporkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, sebagai berkata jenayah seksual melibatkan guru agama dan pendakwah selebriti semakin meningkat.

Siti Kamsiah berkata penjenayah ini sering menggunakan imej dan status mereka untuk mendapatkan kepercayaan mangsa sebelum melakukan pengantunan.

Turut dilaporkan, ramai mangsa yang memuja agamawan terbabit dan teragak-agak untuk tampil kerana takut akan tindakan balas, termasuk kehilangan sokongan kewangan daripada pelaku.

Mengulas lebih lanjut, Hartini melahirkan kebimbanganan dengan trend ini, mengatakan ramai yang bersekolah di sekolah agama dan tinggal di rumah kebajikan daripada segmen masyarakat yang rentan, termasuk keluarga miskin dan anak yatim.

Beliau menyeru kesedaran masyarakat berhubung perkara ini ditingkatkan, dan ibu bapa siasat latar belakang guru dan kakitangan sekolah agama sebelum menghantar anak kepada mereka.

Hartini berkata, isu yang lebih luas berkisar tentang keperluan pengawalan dan pengawasan yang lebih kukuh ke atas sekolah agama, termasuk pendaftaran wajib dan pemeriksaan berkala.

“Mereka satu-satunya jenis sekolah yang tidak dipantau oleh institusi persekutuan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa negeri masing-masing,” katanya, sambil menambah bahawa kekurangan pengawasan membawa kepada ‘kegagalan sistematik’.

BBerkaitan

Latest articles