KUALA LUMPUR: Notis usul yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara (AGC) berkenaan ‘gag order’ berkait titah adendum Datuk Seri Najib Razak memperincikan tiga perkara.
Ianya adalah, pertama; perkara melibatkan semua pernyataan, komen atau perbincangan yang meragui, mempersoal, mencabar atau menghina kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam pemberian pengampunan.
Kedua; menyentuh tentang spekulasi yang boleh menjejaskan kredibiliti, keabsahan atau integriti keputusan, fungsi dan kuasa Lembaga Pengampunan.
Manakala perkara ketiga berkaitan kenyataan atau penerbitan yang bersifat kritikan, penghinaan dan/atau sindiran terhadap kedudukan, peranan dan kuasa institusi raja sebagai salah satu cabang utama dalam struktur Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC yang juga Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memberitahu pihak media, notis usul permohonan itu difailkan melalui e-Filing di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Permohonan larangan bersuara itu dikemukakan dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri untuk mencabar kewujudan titah adendum.
Dalam permohonan itu, AGC menamakan media massa, individu, organisasi dan pihak ketiga sebagai pihak-pihak yang dilarang membincangkan isu berkenaan.
Mereka dilarang menerbit, menyiar, mengedar atau menyebabkan penerbitan, penyiaran dan pengedaran dalam apa-apa bentuk komunikasi secara cetak, elektronik, digital atau platform media sosial.
Selain larangan bersuara, AGC turut memohon perintah mahkamah bahawa mana-mana pihak yang melanggar larangan bersuara, boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Jabatan tersebut turut memohon perintah perlindungan diberikan kepada responden melibatkan semua dokumen sulit dan material yang dikemukakan sebagai eksibit dalam pendengaran semakan kehakiman tersebut.
AGC juga memohon perintah bahawa dokumen-dokumen sulit itu dihalang daripada didedahkan, dirumuskan, dijelaskan atau disampaikan secara langsung atau tidak langsung kecuali kepada mahkamah dan pihak-pihak yang terlibat dalam semakan kehakiman itu.
“Pihak-pihak yang diberi akses kepada dokumen sulit itu hendaklah menjaga kerahsiaan butiran dan maklumat yang terkandung dan tidak mendedahkannya.
“Semua terma dan syarat perintah ini mengikat dan terus berkuat kuasa walaupun selepas pelupusan tindakan ini, selagi mana dokumen-dokumen tersebut kekal sulit dan rahsia,” demikian menurut notis usul yang diperoleh pihak media, semalam.