KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengeluarkan perintah larangan bersuara atau ‘gag order’ dalam isu kes titah addendum.
Permohonan dibuat pada petang semalam melalui e-filing.
Perintah ‘gag order’ bertujuan melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Media melaporkan, perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan.
Sementara itu, Malaysia Gazette melaporkan peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan bahawa permohonan AGC telah difailkan sekitar 7.45 malam tadi melalui e-filing hari ini.
AGC memfailkan permohonan itu dengan alasan untuk melindungi institusi diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).
Sebelum ini, Najib telah mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab atau mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.