KUALA LUMPUR: Saksi ke-4, Cheng Yuen Chen, bersetuju dengan pasukan pembelaan bahawa beliau tidak menyediakan pernyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah. Sebaliknya, pernyataan itu didakwa telah disediakan oleh Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika mengambil keterangannya bagi tujuan siasatan sejak dua tahun lalu.
Di hadapan hakim Rosli Ahmad, Yuen Chen yang kelihatan keliru ketika dirujuk kepada pernyataan saksinya sering menjawab bahawa beliau tidak ingat dan tidak tahu, walaupun secara asasnya beliau bersetuju dengan fakta yang ditulis dalam pernyataan tersebut.
Saksi juga kelihatan beberapa kali menangis kerana berasa tertekan ketika menjawab soalan berdasarkan fakta di dalam pernyataan saksinya. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila Peguam pihak pembelaan, Amir Hamzah, meminta beliau mengesahkan pembukaan akaun Bank UOB milik Golden Infor Services.
Pada prosiding di mahkamah sesyen di sini, hari ini, ketika menjawab soalan peguambela Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Yuen Chen menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui kewujudan akaun tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa sebagai Pengarah, beliau hanya mengetahui kewujudan akaun Bank UOB milik Syarikat Accucom Solution Plt serta akaun Bank CIMB milik Syarikat Omega Dynasty Sdn Bhd.
Bagaimanapun, suasana menjadi tegang apabila Amir menyoal balas dengan mengemukakan bukti pengesahan cap jari biometrik, salinan kad pengenalan, dan tandatangan Yuen Chen pada rekod pembukaan akaun tersebut.
Ketika menjawab soalan lanjutan daripada Amir, Yuen Chen akhirnya akur bahawa proses pembukaan akaun di sesebuah bank memerlukan kehadiran penama, dan beliau mengakui bahawa cap jari biometrik, salinan kad pengenalan, dan tandatangan yang tertera dalam dokumen adalah miliknya.
Namun, Yuen Chen tetap enggan mengakui bahawa beliau hadir semasa akaun itu dibuka atas alasan tidak ingat dan tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan.
Amir terus mengasak dengan soalan tambahan, menyebabkan Yuen Chen menangis teresak-esak.
“Kamu memaksa saya menjawab soalan kamu yang diulang-ulang. Saya sudah jawab tidak ingat… Saya tidak tahu macam mana nak menjawab soalan,” jelas Yuen Chen.
Amir kemudian membidas dengan menyatakan bahawa soalan yang diajukan adalah mudah, kerana bukti jelas menunjukkan bahawa saksi sendiri hadir semasa akaun itu dibuka, berdasarkan dokumen yang dikemukakan.
“Kamu tidak tahu macam mana nak jawab atau kamu sudah terperangkap?” soal Amir.
Sementara itu, dalam sesi soal balas bersama peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Yuen Chen mengaku bahawa abangnya, Cheng Choon Choon, adalah pemilik sebenar ketiga-tiga syarikat yang didaftarkan atas namanya.
Yuen Chen turut mengakui bahawa beliau tidak mempunyai kawalan terhadap aktiviti keluar masuk wang tunai dalam akaun syarikat terbabit.
Beliau berulang kali menyatakan bahawa beliau hanya diminta menandatangani cek kosong atas kapasitinya sebagai Pengarah syarikat.
Sehubungan itu, Dzulkifli menjelaskan bahawa tindakan Yuen Chen dan abangnya, Choon Choon, melanggar Seksyen 60A Akta Syarikat, yang mewajibkan pemunya benefisial (pemilik mutlak) didaftarkan oleh syarikat.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Seksyen 60B Akta yang sama menetapkan bahawa sesebuah syarikat wajib menyimpan rekod pemunya benefisial dan merekodkan butiran terperinci seperti yang termaktub dalam perundangan.
“Adakah kamu mendaftarkan butiran Alex (Cheng Choon Choon) dalam rekod berkenaan?” soal Dzulkifli.
“Tidak,” jawab Yuen Chen.
“Adakah kamu tahu mengenai Akta ini?” soal Dzulkifli lagi.
“Tidak, saya tidak tahu,” jawab Yuen Chen dengan wajah sugul.
Dzulkifli kemudian mengemukakan rekod yang membuktikan bahawa Choon Choon hanya diisytiharkan muflis pada tahun 2009, sedangkan Syarikat Golden Infor Services (GIS) telah ditubuhkan pada tahun 2005.
Berikutan itu, Dzulkifli mencadangkan bahawa keterangan dalam pernyataan saksi Yuen Chen adalah tidak benar.
Ini kerana dalam kenyataan tersebut, Yuen Chen mendakwa bahawa Choon Choon membuka syarikat itu menggunakan namanya kerana statusnya sebagai seorang muflis, sedangkan rekod menunjukkan Choon Choon hanya diisytiharkan muflis empat tahun selepas syarikat itu ditubuhkan.
Saksi bagaimanapun tidak bersetuju bahawa kenyataannya salah, dan menegaskan bahawa sepanjang pengetahuannya, Choon Choon memang seorang muflis.
Dzulkifli kemudian mengemukakan dokumen bukti daripada Jabatan Insolvensi yang menyatakan bahawa Choon Choon hanya diisytiharkan muflis pada tahun 2009. Namun, saksi tetap tidak bersetuju bahawa keterangan beliau adalah salah.
Dzulkifli seterusnya mencadangkan bahawa saksi telah berbohong di dalam mahkamah, tetapi saksi menolak dakwaan tersebut.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Aznika Mohd Anas, manakala defendan diwakili oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Amir Hamzah.