PUTRAJAYA — Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim, bersama Perdana Menteri Jepun, Ishiba, telah mengetuai delegasi masing-masing dalam satu mesyuarat dua hala yang membincangkan pelbagai aspek kerjasama antara kedua-dua negara.
Menurut Perdana Menteri, Mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya itu membincangkan kemajuan pelbagai bidang kerjasama, termasuk perdagangan, tenaga, pertahanan, keselamatan siber, maritim, pendidikan tinggi, pencegahan bencana, serta pembangunan loji pemprosesan unsur nadir bumi (REE). Kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan strategik yang saling menguntungkan.
Katanya antara manifestasi kerjasama ini adalah penubuhan cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia serta jalinan strategik PETRONAS dengan Shikoku Electric dan Hiroshima Gas.
“ Selain itu, PETRONAS dan Petros turut bekerjasama dengan beberapa syarikat Jepun dalam projek berkaitan tenaga hidrogen. Projek kabel dasar laut Sarawak dan grid tenaga ASEAN yang membabitkan Laos, Thailand, dan Singapura juga dibincangkan sebagai usaha memperkukuh sektor tenaga katanya dalam satu hantaran di Laman Facebooknya.
Tambah Anwar lagi, Mereka turut membincangan mengenai isu serantau, dan kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen terhadap penyelesaian konflik Myanmar berdasarkan Konsensus Lima Perkara.
Menyentuh Mengenai krisis kemanusiaan di Gaza pula, Malaysia dan Jepun bersetuju untuk menjadi Pengerusi Bersama Mesyuarat Peringkat Menteri dalam Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai depan.
Menurutnya Persidangan ini bertujuan membincangkan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin.
Malaysia dan Jepun turut mencapai kata sepakat mengenai pengukuhan kerjasama dalam ASEAN, dengan Malaysia sebagai Pengerusi tahun ini. Malaysia menyatakan sokongan terhadap inisiatif Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia (AZEC) dan berhasrat membincangkan penganjuran persidangan ini di Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ASEAN.
Berkaitan perkembangan di Laut China Selatan pula, kedua-dua negara menekankan keperluan mengekalkan keamanan dan menyelesaikan sebarang pertikaian melalui diplomasi serta jalur perundangan antarabangsa.
Setelah mesyuarat lebih satu jam, Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim dan Perdana Menteri Ishiba mengadakan sidang media bersama bagi memaklumkan hasil perbincangan dan memperkukuh persefahaman antara kedua-dua negara kata Perdana Menteri lagi.
Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba seterusnya berlepas ke Indonesia hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.