“Saya Tiup Wisel Setiap Hari” – Jaslinda Dedah Detik Cemas 14 Hari Sesat Dalam Hutan

TAPAH: Pendaki wanita yang ditemui selamat selepas 14 hari hilang di kawasan hutan Banjaran Titiwangsa, Jaslinda Saludin, 49, mendedahkan dia tidak pernah berhenti meniup wisel yang dibawanya sepanjang tempoh tersesat, walaupun usaha pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemuinya ketika itu.

Perkara itu dikongsikan Jaslinda kepada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi ketika beliau menziarahinya di Wad Perempuan Hospital Tapah, hari ini.

Menurut Mohd Azlan, Jaslinda memaklumkan dia beberapa kali mendengar bunyi helikopter yang terlibat dalam operasi SAR berlegar di kawasan berhampiran, namun kedudukan mereka tidak pernah bertembung.

Malah, wanita itu turut menemui nota yang ditinggalkan pasukan pencari di dalam hutan, menunjukkan operasi menyelamat sebenarnya pernah berada tidak jauh daripadanya.

“Beliau sentiasa meniup wisel yang dibawa dan mendengar bunyi helikopter lalu-lalang sepanjang berada di dalam hutan. Pada satu ketika, beliau menemui nota SAR yang ditinggalkan malim gunung, namun ketika itu mereka berada di laluan yang berbeza,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan serta Pengarah Hospital Tapah, Dr Wan Immi Salim.

Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira jam 5 petang kelmarin oleh beberapa penduduk Orang Asli selepas hampir dua minggu dilaporkan hilang.

Beliau sebelum itu menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh bersama 13 peserta lain dan dua malim gunung perhutanan.

Dalam pertemuan tersebut, Jaslinda turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang konsisten membuat liputan perkembangan operasi SAR sepanjang kehilangan dirinya.

Menurut Mohd Azlan, liputan berterusan media membantu menyalurkan maklumat yang tepat kepada orang ramai sekali gus mengelakkan penyebaran spekulasi tidak berasas.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan pemberian insentif kepada anggota dan sukarelawan yang terbabit dalam operasi SAR berkenaan.

Katanya, perkara itu berkemungkinan dibawa ke mesyuarat EXCO kerajaan negeri untuk dibincangkan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum sebarang keputusan diumumkan secara rasmi. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles