Tumpu Idea, Dasar dan Penyelesaian Terbaik Demi Johor, Bukan Polemik Politik – Zambry Kadir

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Barisan Nasional (BN) menggesa semua pihak supaya memberi tumpuan kepada usaha mengemukakan idea, dasar serta penyelesaian terbaik bagi memacu pembangunan Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), berbanding bertindak keterlaluan atau melatah terhadap kenyataan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, berhubung pendiriannya mengenai kerjasama politik dengan DAP.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, polemik politik yang berpanjangan tidak membawa manfaat kepada rakyat, sebaliknya semua pihak perlu menawarkan rekod, prestasi dan gagasan terbaik untuk dinilai oleh pengundi.

Menurut beliau, pendirian yang dinyatakan oleh Onn Hafiz adalah berasaskan perbezaan prinsip serta pertimbangan politik, bukannya didorong oleh sentimen perkauman atau sikap chauvinis.

Beliau berkata, sepanjang menerajui pentadbiran Johor, Onn Hafiz telah membuktikan komitmennya untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik.

“Beliau bukan jenis chauvinis atau bersikap perkauman apabila menyatakan pendirian tersebut. Sebaliknya, beliau sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zambry berkata, pendirian politik yang dizahirkan oleh Menteri Besar Johor itu juga perlu dilihat dalam konteks landskap politik negeri memandangkan Johor pada penggal lalu ditadbir oleh Barisan Nasional sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini sering menjadi sasaran kritikan, sindiran serta kecaman daripada pelbagai pihak di pentas politik, namun perkara itu tidak pernah diperbesarkan atau dijadikan polemik secara berlebihan.

Menurutnya, perkara yang lebih utama ketika ini ialah memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan, sambil menyifatkan Onn Hafiz kekal memberi tumpuan kepada tanggungjawab mentadbir negeri dengan baik.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya menghentikan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat, sebaliknya menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi PRN Johor dengan mengemukakan idea, dasar dan penyelesaian terbaik untuk pembangunan negeri.

“Pada akhirnya, rakyat akan membuat penilaian berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keupayaan memimpin, bukannya retorik yang memecah-belahkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles