‘Malaysia Tidak Perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA

KUALA LUMPUR: Kenyataan ahli DAP, Profesor Dr Tajuddin Rasdi yang melabel pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai ‘perkauman’ disifatkan sebagai tidak adil, mengelirukan, dan tidak berasaskan hujah yang matang.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong berkata, sebagai seorang tokoh akademik, Tajuddin sepatutnya memahami perbezaan asas antara entiti kaum dan ideologi sesebuah parti politik.

Menurutnya, tindakan Onn Hafiz menolak kerjasama politik dengan DAP tidak boleh disamakan dengan menolak masyarakat Cina, India, atau mana-mana kaum lain di negara ini kerana DAP tidak mewakili mana-mana kaum secara mutlak.

“Persoalannya, sejak bila DAP menjadi wakil tunggal kepada masyarakat Cina? Adakah sesiapa yang tidak bersetuju dengan DAP secara automatik dianggap menolak kaum Cina?

“Pemikiran seperti ini bukan sahaja dangkal, malah berbahaya kerana cuba menyempitkan perbezaan politik kepada sentimen perkauman,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Choo Seong turut mempersoalkan analogi Tajuddin yang membandingkan pendirian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu dengan peristiwa Rundingan Damai Baling.

Tegas beliau, rundingan bersejarah tersebut bertujuan menamatkan ancaman keselamatan negara dan konflik bersenjata, bukannya platform membentuk kerajaan atau kerjasama politik dalam sistem demokrasi.

“Janganlah cuba mengubah sejarah semata-mata untuk menyesuaikannya dengan naratif politik parti sendiri.

“Dalam amalan demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk memilih rakan politik berdasarkan prinsip, ideologi dan mandat rakyat. Hak itu tidak eksklusif kepada DAP sahaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Choo Seong mempertahankan Onn Hafiz dengan menyifatkan beliau sebagai antara pemimpin pelapis yang progresif, sederhana, dan bertanggungjawab.

Katanya, sebagai Menteri Besar, Onn Hafiz berhak menentukan hala tuju politik terbaik untuk Johor menerusi acuan semangat ‘Bangsa Johor’ yang menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Beliau menambah, tindakan melabel pihak yang tidak sehaluan menunjukkan satu corak politik lama yang sering digunakan oleh DAP.

“Malangnya, sejarah politik DAP menunjukkan sesiapa yang sanggup mengikut rentak mereka akan dipuji, manakala sesiapa yang memilih haluan berbeza akan diserang dengan pelbagai label. Hari ini, apabila Onn Hafiz menyatakan pendirian secara terbuka, beliau dituduh perkauman,” ujarnya.

Sehubungan itu, Choo Seong menyarankan Tajuddin agar melakukan refleksi kendiri terhadap dinamika dalaman parti yang dianggotainya sejak tahun 2012 itu sebelum mempertikaikan pihak lain.

Beliau membangkitkan persoalan sama ada proses pemilihan kepimpinan DAP benar-benar bebas daripada pertimbangan kaum, selain mempersoalkan kelantangan suara akademik itu dalam isu-isu melibatkan ahli parti sendiri seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.

“Sebelum mempertikaikan pendirian orang lain, mungkin lebih baik beliau memberi tumpuan kepada hal rumah tangganya sendiri terlebih dahulu.

“Sejarah telah mengajar kita bahawa politik perpecahan tidak pernah membawa negara ke hadapan. Malaysia tidak memerlukan ‘Rashid Maidin 2.0’.

“Apa yang negara perlukan sekarang ialah lebih ramai pemimpin yang mampu merapatkan jurang, membina persefahaman, dan menyatukan rakyat demi masa depan yang stabil,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles