KUALA LUMPUR: Setiausaha URIMAI, Satees Muniandy menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan telus berhubung penahanan beberapa individu yang didakwa mempunyai kaitan keluarga dengan seorang wakil rakyat daripada Democratic Action Party (DAP).
Dalam satu kenyataan di Facebook, beliau mempersoalkan dakwaan bahawa terdapat cubaan mempengaruhi proses siasatan susulan penahanan berkaitan kes dadah yang dilaporkan berlaku di kawasan Bukit Tengah.
Menurut beliau, individu yang dikaitkan dengan kes berkenaan juga pernah ditahan dalam operasi terdahulu, namun mempersoalkan bagaimana proses perundangan sebelum ini berakhir tanpa sabitan.
Bagaimanapun, setakat ini belum terdapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai dakwaan campur tangan politik atau usaha mempengaruhi siasatan.
Namun, beliau yang juga bekas ADUN Bagan Dalam, turut memuat naik tangkap layar Sistem E-Filing Mahkamah Persekutuan Malaysia bertarikh 25.7.2022 dan 5.6 2026, bagi menuntut jawapan.
Sementara itu, pihak parti yang dinamakan dalam kenyataan tersebut belum mengeluarkan sebarang respons rasmi berhubung dakwaan yang dibangkitkan.










