Pesara Guru Diacu Pisau, Disamun Ketika Hendak Solat

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berdepan dengan situasi cemas apabila rumahnya dimasuki seorang penyamun bersenjatakan pisau di Kampung Dusun, Kuala Berang, Terengganu, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kejadian berlaku ketika pesara guru berusia 88 tahun itu sedang bersiap menunaikan solat pada jam 1.30 pagi.

“Lelaki itu mendapati seorang lelaki tidak dikenali memasuki rumahnya melalui tingkap yang tidak berkunci dan suspek kemudian mengacukan pisau dan mengugut mangsa untuk menyerahkan wang.

“Warga emas itu yang bimbang akan keselamatannya telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,300 kepada suspek dan kemudian melarikan diri menggunakan sebuah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainul berkata, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut dan hasil siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah melalui tingkap yang tiada jeriji.

“Polis sedang giat menjalankan siasatan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan pintu dan tingkap rumah sentiasa berkunci, terutama pada waktu malam dan langkah keselamatan seperti memasang lampu luar rumah juga disarankan untuk mencegah kejadian seumpama ini.

BBerkaitan

Latest articles