Polis Berjaya Peroleh Semula RM7.2 Juta daripada Wang Tebusan Kes Culik Ahli Perniagaan

JOHOR BAHRU, 30 Oktober 2024 – Pihak polis berjaya memperoleh semula RM7.2 juta daripada jumlah wang tebusan RM20 juta yang dibayar kepada sindiket yang terlibat dalam kes penculikan seorang ahli perniagaan pada 13 Oktober lalu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, menyatakan bahawa wang yang diperoleh semula melibatkan pelbagai bentuk, termasuk wang tunai, mata wang asing, dan mata wang digital.

“Jumlah ini melibatkan wang tunai RM1.95 juta, mata wang asing SGD1 juta (bersamaan kira-kira RM3.3 juta), serta wang digital dalam bentuk USDT sebanyak 400,000 (bernilai RM1.75 juta),” kata Mohd Shuhaily dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru. Turut dirampas dalam operasi ini ialah sepucuk pistol jenis Pietro Beretta yang dipercayai asli, 250 butir peluru hidup, dan sepasang gari.

Setakat ini, polis telah menahan seramai 14 suspek berusia antara 23 hingga 58 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan ini. Daripada jumlah tersebut, 11 suspek adalah warga tempatan, manakala tiga lagi adalah warga Vietnam. Mereka ditangkap di beberapa lokasi berasingan di sekitar Johor Bahru pada hari yang sama dengan pembebasan mangsa.

Menurut Mohd Shuhaily, kumpulan suspek ini terdiri daripada pelbagai peranan, termasuk perancang penculikan, pelaksana, pengurus wang tebusan, dan mereka yang bertanggungjawab melupuskan bukti. Polis kini sedang berusaha untuk melengkapkan siasatan dalam masa terdekat, memandangkan masih ada beberapa suspek yang dipercayai masih bebas.

Semua suspek kini direman sehingga 5 November untuk membantu siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles