“Space City” Tingkat Keupayaan Malaysia Dalam Bidang Angkasa

KUALA LUMPUR: Potensi besar dalam teknologi angkasa membolehkan Malaysia membangunkan sebuah bandar angkasa dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah berkata projek bandar angkasa merupakan antara tiga rangka tindakan Malaysia Space Exploration 2030 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Mei lalu.

Azlikamil berkata perincian bandar angkasa itu akan dimaklumkan kerajaan dalam tempoh terdekat.

“Di kawasan bandar angkasa itu nanti boleh dibangunkan industri-industri untuk pembuatan komponen berkaitan angkasa, atau kawasan itu akan dimanfaatkan sebagai operasi kawalan, selain untuk membangunkan inovasi baru dalam sektor angkasa.

“Kita mahu manfaatkan keupayaan negara dan perkasakan lagi industri ini supaya dapat memiliki keupayaan dalam bidang teknologi angkasa,” katanya.

Azlikamil berkata, melalui projek bandar angkasa, ia mampu menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau bersamaan RM10 bilion menjelang tahun 2030.

“Kita telah menerima pertanyaan dan permintaan terhadap minat projek bandar angkasa ini daripada Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, India, United Kingdom, Scotland, Jepun dan China. Ini adalah negara-negara yang kerap datang ke Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan dan pelaburan di dalam negara.

“Kita rancang supaya sektor angkasa bokeh menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus daripada KDNK pada tahun 2030 nanti, bersamaan dengan RM10 bilion, bermakna kita mahu sektor angkasa menjadi sebagai salah satu ekonomi baru kepada negara.

“Begitu juga dengan matlamat menyediakan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan baru kepada generasi muda untuk memastikan pembangunan dan pengoperasian teknologi angkasa berterusan,” ujarnya.

Dalam usaha menjayakan ketiga-tiga projek besar ini, MYSA menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut bekerjasama dengan universiti tempatan untuk mengadakan program-program dengan negara luar melibatkan ilmu sains angkasa.

BBerkaitan

Latest articles