Kit Siang Masih Berharap PH-MUDA Bekerjasama, Elak Pecah Undi

KUALA LUMPUR: Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang hari ini menggesa kedua-dua pihak Pakatan Harapan (PH) dan MUDA mencari penyelesaian terbaik dan mewujudkan kembali persefahaman bagi mengelakkan berlaku perpecahan undi pada PRN enam negeri.

“Seminggu yang lepas, saya cadangkan yang Muda patut bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar (Ibrahim) dalam enam PRN bakal berlangsung bulan hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Meskipun keputusan enam pilihan raya itu tidak akan membawa kepada kejatuhan serta-merta Kerajaan Perpaduan, Kit Siang berpandangan perkembangan itu akan menentukan sama ada Malaysia berjaya kembali kepada prinsip negara majmuk yang diterapkan tokoh terdahulu.

“Saya sudah bersara daripada politik barisan hadapan dan saya tidak tahu apa yang sedang terjadi antara MUDA dan PH atau kerajaan perpaduan Anwar.

“Tetapi saya menyimpan cita-cita untuk melihat MUDA bekerjasama dengan PH dan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam PRN,” katanya.

Terdahulu MUDA yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memutuskan bergerak solo pada PRN enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dengan keputusan itu, berkemungkinan calon-calon MUDA akan bertembung dengan PH dan Barisan Nasional (BN), walaupun ia menjadi sebahagian daripada blok kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles