PUTRAJAYA: China mengharapkan Malaysia mempunyai dasar yang dapat menyokong pelaburannya ke negara ini, termasuk dalam beberapa bidang baharu seperti tenaga diperbaharui, semikonduktor dan ekonomi digital, kata Presiden Xi Jinping.
Pemimpin China itu menyuarakan perkara berkenaan ketika bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam acara bersejarah di Great Hall of the People di Beijing pada Jumaat.
Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke China.
Xi turut menekankan mengenai paradigma baharu pembangunan China dengan tumpuan kepada pembukaan serta pembangunan dan kerjasama berkualiti.
“Semua ini akan membuka peluang baharu untuk kerjasama yang lebih besar, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan,” menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).
Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengesahkan mengenai kekukuhan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara yang menyaksikan angka dagangan yang semakin berkembang dengan projek utama di bawah inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) seperti Laluan Rel Pantai Timur serta Two Countries, Twin Parks di Kuantan dan Qinzhou.
Beliau mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dan kerjasama dari China dalam sektor baharu muncul termasuk ekonomi digital, pemodenan pertanian dan perdagangan pertanian dan tenaga boleh baharu, serta menggalakkan penglibatan China dalam Automotive High-Tech Valley (AHTV) selain menyatakan kesediaan Malaysia untuk mengeksport lebih banyak ke China, termasuk dalam sektor komoditi pertanian.
Anwar turut menyambut baik penubuhan kampus cawangan pertama Universiti Tsinghua Beijing di Malaysia dan berharap dapat menjalin kerjasama konkrit dalam bidang TVET dan meningkatkan bilangan pelajar dari China di Malaysia.
Mengenai isu Myanmar, kedua-dua pemimpin turut berkongsi kebimbangan mengenai situasi yang sedang berlaku di negara ini.
Xi berkata China menyokong usaha yang diterajui Asean untuk menangani situasi di Myanmar termasuk usaha untuk membantu merungkai masalah Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.
Dalam pertemuan itu, Anwar dan Xi turut sepakat untuk membina asas yang kukuh dengan memanfaatkan ulang tahun ke-10 jalinan Perkongsian Strategik Komprehensif tahun ini dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun depan.
Anwar turut menyampaikan jemputan kepada Xi untuk mengadakan lawatan ke Malaysia.
Pertemuan diakhiri dengan kedua-dua pemimpin sepakat untuk menggalakkan lebih banyak dialog dan interaksi di semua peringkat dalam meningkatkan lagi hubungan dua hala dan menangani cabaran bersama di peringkat serantau dan antarabangsa. – Bernama