Isu Telur: Presiden MCA Dapat Surat Peguam Lagi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong menerima surat saman kedua daripada peguam yang mewakili syarikat pengimport telur dari India susulan kenyataan beliau bahawa harga telur import lebih mahal dari telur tempatan.

Ka Siong berkata, menerusi surat kedua yang diterima hari ini, meminta beliau membuat ‘pembetulan’ terhadap kenaytaannya di parlimen dan media sosial dalam tempoh 72 jam atau berdepan tindakan lanjut.

“Saya tidak gentar dan tetap mempertahankan kenyataan yang telah saya buat di dalam Dewan Rakyat.

“Tiada siapa yang dapat menghalang saya unutk bersuara demi kepentingan rakyat jelata.

“Tiada siapa dapat menghentikan saya daripada menjadi jurucakap rakyat,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Ka Siong turut memaklumkan beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

Presiden MCA itu sebelum ini mendedahkan telah menerima surat saman daripada pengimport telur dari India ekoran kenyataannya ketika mencelah sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada 22 Februari lalu.

Ka Siong turut mencuri tumpuan apabila membawa tiga biji telur ayam yang berlainan jenis iaitu telur Omega, telur tempatan dan telur dari India ke Dewan Rakyat.

Beliau ketika itu mencelah perbahasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan membandingkan tiga jenis telur itu dari segi saiz dan harga.

Ka Siong mendakwa telur dari India dibeli dengan harga 50 sen walaupun saiznya lebih kecil manakala telur keluaran tempatan dikawal pada harga 45 sen.

Sementara itu, Mohamad Sabu sebelum ini memaklumkan pengimportan telur dari India yang Langkah sementara sehingga bekalan tempatan kembali stabil.

BBerkaitan

Latest articles