KUALA LUMPUR: Pengambilan arak kebiasaannya akan menyebabkan kesan buruk jika ia diminum berlebihan sehingga mabuk kerana sudah terbukti akibat mabuk banyak perkara yang tidak diingini boleh berlaku.
Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India, Ramesh Rao merayu dan memohon kerajaan mengharamkan penjualan arak di semua premis runcit 24 jam selepas pukul 10 malam.
Beliau berkata pengambilan arak selepas waktu larut malam biasanya akan diambil berlebihan menyebabkan risiko berlakunya kejadian seperti kemalangan jalan raya dan pergaduhan serta mungkin berlakunya jenayah.
“Selain itu, pengharaman itu bagi memelihara generasi muda daripada terjebak melakukan aktiviti yang tidak berfaedah dan sia-sia serta boleh membahayakan diri sendiri.
“Pada usia muda yang masih produktif, mereka mesti digalakkan melakukan aktiviti yang membantu diri sendiri dan keluarga bukannya diarahkan kepada meminum arak,” katanya.
Ramesh berkata langkah itu pasti akan memberikan kesan jangka panjang yang lebih baik kepada masyarakat dan keluarga kerana setiap individu akan terpelihara daripada bahaya pengaruh alkohol yang amat membimbangkan.
Katanya, larangan itu bukan sahaja membawa kebaikan kepada golongan kaum India tetapi juga masyarakat lain yang meminum alkohol supaya kebaikan diri mereka lebih terjamin.
“Jika ada usaha atau langkah untuk menyekat penjualan arak, bukan sahaja institusi keluarga akan lebih baik malahan juga kesihatan juga akan dapat dijaga daripada terkena pelbagai jenis penyakit menyebabkan alkohol,” katanya.
Pihak kerajaan tempatan boleh mengenakan larangan berkenaan kepada premis jualan runcit yang beroperasi selama 24 jam dalam kawasan seliaan mereka sebagai permulaan kepada langkah berkenaan.
Untuk rekod, ada kejadian kemalangan maut yang berlaku pada waktu tengah malam dek kerana pemandu mabuk dan ada juga jenayah lebih berat direkodkan berlaku akibat meminum arak.
Ramesh berharap usaha ini akan dapat meningkatkan lagi kualiti kehidupan sosial dalam komuniti semua rakyat dari semua lapisan masyarakat untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan harmoni.