Kesesakan Pejabat Imigresen Sebab Cuti Umum dan Cuti Sekolah

PUTRAJAYA: Kesesakan orang ramai luar biasa yang dikatakan terjadi di pejabat permohonan pasport di Kuala Lumpur dan Selangor adalah disebabkan pejabat pasport di seluruh Selangor ditutup kerana hari ini merupakan cuti umum dan cuti sekolah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata orang ramai perlu mencari alternatif lain untuk memohon pasport di pejabat Jabatan Imigresen yang terletak di luar Lembah Klang yang kurang sesak.

Antara pejabat permohonan pasport berdekatan dan kurang kesesakan adalah di Seremban, Melaka, Cameron Highlands dan Raub di Pahang, Pengkalan Hulu (Perak), Mersing dan Kukup (Johor) serta Kangar di Perlis.

Selain itu, katanya urusan permohonan pasport selepas ini, boleh dibuat di pejabat permohonan pasport di Kuala Langat dan Kuala Kubu Bharu di Selangor kerana dikenal pasti kurang sesak.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai keperluan mendesak atau kecemasan, diminta supaya menangguhkan dahulu urusan permohonan pasport dan memohon di luar waktu puncak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sikap menunggu hingga ke saat akhir dan perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Jabatan Imigresen melalui aplikasi TikTok rasminya hari ini memuat naik video berdurasi 51 saat memaparkan keadaan kesesakan luar biasa di pejabat permohonan pasport di Putrajaya.

BBerkaitan

Latest articles