KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pertama mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pedana Menteri.
Dalam satu kenyataan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata cadangan itu dibuat atas kerangka bahawa Perikatan Nasional (PN) memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas Pakatan Harapan (PH).
“Kerangka pemikiran ini adalah atas prinsip saya untuk memastikan rakyat dan negara ini terus berada dalam keadaan stabil dan makmur seperti mana yang parti saya perjuangkan,” katanya.
Apatah lagi ketika tidak ada satu parti pun memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu, kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara harus diteruskan dengan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman.
Berpaksikan kepada ‘track record’, katanya, beliau berprinsip bahawa sebuah ‘unity government’ tanpa PH untuk meneraju kerajaan Malaysia pasca-PRU15.
Jalaluddin berkata, asas utama penolakan terhadap PH ini adalah atas kegagalan pentadbiran negara keruntuhan semasa 22 bulan diperintah mereka selepas PRU14.
“Perkara ini sewajarnya menjadi ‘collective responsibilty’ di kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat BN, PN, Pejuang, GPS, GRS, bebas dan lain-lain,” katanya.