Calon TPM Bincang Selepas BN Menang

KUALA LUMPUR: Belum ada lagi nama-nama yang bakal dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun Barisan Nasional (BN) akan kekal dengan keputusan melantik tiga individu untuk jawatan berkenaan jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan hal tersebut akan dimuktamadkan kemudian.

“(Biarkan) kita menang dulu, kita belum bincang lagi (calon Timbalan Perdana Menteri), calon daripada UMNO, Sabah dan Sarawak, semuanya keputusan (akan dibuat) selepas kita menang (PRU15),” katanya, malam ini.

Sebelum ini wujud cadangan supaya BN mengangkat calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, sebagai antara calon bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, jika BN menang pada PRU15.

Terdahulu, Ismail Sabri dan Khairy meluangkan masa menjamu selera dan beramah mesra bersama kira-kira 300 penduduk setempat di sebuah warung berhampiran.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Selangor, merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merayu pengundi Sungai Buloh untuk memberi sokongan kepada Khairy, yang juga Menteri Kesihatan, pada PRU15.

“Saya menyeru semua pengundi di Sungai Buloh, yang juga ahli Keluarga Malaysia untuk menyokong memilih Khairy di Parlimen Sungai Buloh,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles