UMNO Perlu Dibersihkan, Kembalikan Sentimental Orang Melayu Kepada Parti

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mempunyai matlamat yang lebih besar jika berjaya di kerusi barunya pada PRU15 nanti.

Khairy nekad membawa perubahan ‘total’ di dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), supaya masyarakat Melayu mempunyai wadah politik yang boleh dibanggakan dan terbesar di Malaysia.

“Saya tak mahu berhenti di Sungai Buloh semata-mata kerana bertanding di sini cabaran terbesar dalam kerjaya politik saya. Nak menang di sini bukan mudah, tetapi kalau saya menang, saya nak bawa kita semua, bukan sekarang tetapi mungkin lima atau 10 tahun akan datang untuk menerajui pimpinan negara.

“Saya juga mahu bawa perubahan kepada parti saya (UMNO) dan mahu UMNO dilihat semula sebagai wadah mulia untuk masyarakat Melayu. Sekarang ini ramai jumpa dan maklumkan saya, bukan mereka tak suka UMNO tetapi kurang berkenan dengan beberapa (individu) dalam UMNO.

“Saya dan rakan lain mahu kembalikan UMNO sebagai wadah Melayu yang mulia, bersih, berubah dan memiliki pemimpin bagus dan mampu diberi kepercayaan seperti suatu ketika dahulu,” katanya ketika berucap di Majlis Silaturrahim bersama Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (PERAKAM) di Kelab Rahman Putra, malam tadi.

Bahkan lebih penting menurut KJ, UMNO perlu dikembalikan semula sebagai parti yang mempunyai nilai sentimental yang besar kepada orang Melayu, seperti di awal penubuhannya dahulu.

Menteri Kesihatan itu percaya langkah memperbaiki UMNO perlu dilakukan segera supaya ia dapat kembali ke pangkal jalan.

“Ini kita cakap yang benar. Janganlah berselindung lagi. Orang Melayu sentiasa ada (perasaan) sentimental terhadap UMNO. Cuma UMNO ini dah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan dan perlu diperbetul semula.

“Saya nak menang PRU15 untuk memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Selepas itu kita bersihkan semula UMNO serta bawa balik keyakinan rakyat.

“Saya ini reformis dalam UMNO dan tak boleh kunci mulut saya. Sebab itulah dihantar ke Sungai Buloh. Kalau tiada sesiapa berani ketengahkan, sampai bila-bilalah tak akan berubah.

“Sebab itulah pertaruhan saya kali ini bukan semata-mata untuk Sungai Buloh sahaja tetapi untuk masa depan negara, UMNO dan BN. Kalau saya menang insya-Allah kita boleh melihat perubahan besar. Bermula dari Sungai Buloh dan berakhir ke Putrajaya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles