Pelajar Tingkatan Dua Maut, Keluarga Dakwa Dipukul Di Asrama

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dilaporkan meninggal dunia semalam, dengan keluarganya mendakwa mangsa dipukul ketika berada di asrama sekolah.

Dakwaan berhubung kejadian itu mula tersebar menerusi beberapa hantaran di Threads yang dibuat seorang wanita yang mendakwa dirinya ibu saudara mangsa.

Menurut wanita berkenaan, dia mendapat berita mengenai kematian anak saudaranya selepas dihubungi ibu mangsa yang sedang menangis.

“Angah telefon adik tadi menangis kata anaknya dah meninggal kena pukul dekat asrama sekolah.

“Sekarang semua tengah dalam perjalanan ke Hospital Kuala Pilah,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam hantaran berikutnya, wanita berkenaan mendakwa jenazah mangsa yang pada awalnya dibawa ke Hospital Kuala Pilah kemudian dipindahkan ke sebuah hospital di Seremban bagi tujuan bedah siasat.

Beliau turut mendakwa seorang pelajar Tingkatan Empat ditahan berhubung kejadian itu, manakala mangsa adalah pelajar Tingkatan Dua.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai mangsa dipukul di asrama serta penahanan seorang pelajar berkenaan masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada polis.

Menerusi hantaran terbaharu pagi ini, wanita itu memaklumkan bedah siasat terhadap jenazah mangsa dijadualkan berlangsung pada jam 12 tengah hari.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Idlan Fareeq Shahril, yang dinyatakan sebagai pelajar SMK Za’ba, Kuala Pilah.

Radzi turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan mangsa menjadi mangsa buli bagi memastikan keadilan ditegakkan kepada Allahyarham serta keluarganya.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang juga Ketua Pemuda UMNO, turut merakamkan ucapan takziah selain menggesa tindakan tegas dan segera diambil berhubung kejadian itu.

BBerkaitan

Latest articles