​Ibu Bapa Digesa Hadkan Pendedahan Skrin Digital Anak-anak

​KUALA LUMPUR: Ibu bapa digesa agar mengambil tanggungjawab penuh dalam menghadkan masa penggunaan gajet dan skrin digital dalam kalangan anak-anak bagi mengelakkan implikasi buruk terhadap perkembangan minda serta kesihatan fizikal mereka.

​Pengarah Holista Biotech Sdn Bhd, Datuk Dr Rajen Manicka berkata, ketagihan peranti seperti telefon pintar dan iPad kini berada pada tahap membimbangkan apabila kanak-kanak memperuntukkan purata empat jam pada hari persekolahan dan sehingga enam jam pada hujung minggu di hadapan skrin.

​Menurutnya, pendedahan berlebihan kepada cahaya biru (blue light) daripada peranti digital bukan sahaja mengganggu pola tidur dan memberi kesan kepada emosi kanak-kanak, malah kajian terbaharu menunjukkan ia berisiko menjejaskan perkembangan otak.

​”Ramai ibu bapa mengambil jalan mudah dengan memberikan gajet semata-mata untuk mententeramkan anak-anak yang bising.

“Tindakan ini menyebabkan kanak-kanak menjadi ketagih.

​”Walaupun teknologi itu penting, ia memerlukan had yang jelas dan bukannya dibiarkan bebas tanpa kawalan. Ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab ini kerana di rumahlah kawalan itu bermula,” katanya.

​Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program kempen “Screen-Free Futures: Protecting Malaysia’s Children” anjuran Holista Biotech Sdn Bhd di sini, pada Jumaat.

​Program berkenaan turut dihadiri Penasihat dan Rakan Kongsi Kempen Kebangsaan Bebas Skrin, Tan Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah; Pengerusi Holista, Lai Kwok Kin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Holista, Leong Man Loong; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Sivanaesan Letchumanan; dan Presiden Persatuan Kesihatan Integratif Malaysia, Prof Dr Selvam.

​Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Halagel M Sdn Bhd, Ahmad Mokhzani Ahmad Rodzi; Pengarah Urusan Zuellig Pharma (Malaysia, Singapura & Brunei), Louis-Georges Lassonnery; Pengarah Dagangan Watsons Malaysia, Hwei Jiek; Ketua Bahagian Kesihatan Watsons Malaysia, KC Liew; Pengurus Pusat Avenue K Shopping Mall, Rachel Er; serta Pengetua Tadika Graceful Hand, Paggie Yan.

​Mengulas lanjut, Dr Rajen menjelaskan bahawa pertubuhan kesihatan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menetapkan panduan ketat di mana kanak-kanak di bawah umur dua tahun tidak sepatutnya didedahkan kepada skrin gajet, manakala kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun disyorkan menghadkan penggunaan maksimum satu jam sehari.

​Beliau turut menggalakkan ibu bapa memperbanyakkan aktiviti interaksi secara bersemuka dan menghidupkan kembali suasana komunikasi mesra keluarga, terutamanya sewaktu waktu makan.

​”Bila makan, galakkan anak-anak berbual, rasai makanan dan nikmati suasana sekeliling dan bukannya makan sambil menatap skrin.

“Interaksi holistik dan aktiviti luar seperti di taman permainan adalah kunci kepada pembesaran kanak-kanak yang sihat,” ujarnya.

​Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan usaha dan ketetapan kerajaan dalam mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bagi melindungi mereka daripada ancaman siber dan masalah kesihatan mental.

​Kempen “Screen-Free Futures” yang julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya pendedahan skrin berlebihan serta memperkasakan pendidikan berasaskan persekitaran bebas skrin di seluruh negara.

BBerkaitan

Latest articles