KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, susulan kematian seorang murid Tingkatan Dua yang ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu malam tadi.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, audit berkenaan bagi meneliti aspek keselamatan, pematuhan tatacara serta memastikan tiada sebarang ketidakpatuhan terlepas daripada perhatian.
Beliau menegaskan tiada pihak akan dilindungi sekiranya siasatan mendapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang.
KPM, katanya, turut memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menyiasat kes berkenaan, termasuk selepas seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan.
Fadhlina hari ini hadir ke sekolah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PDRM berhubung kejadian serta tindakan yang sudah diambil.
Dalam pada itu, KPM menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan.
Fadhlina turut menziarahi keluarga murid berkenaan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, dan menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan tersebut.
Murid berusia 14 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah, dengan dakwaan awal mengaitkan kejadian berkenaan dengan unsur buli.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin sebelum ini mengesahkan kejadian dan memaklumkan pihaknya akan memberikan butiran lanjut selepas siasatan.










