KUALA LUMPUR: Isu pengampunan dan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak tidak wajar dijadikan medan pertikaian politik kerana keputusan berhubung pengampunan adalah sebahagian daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong.
Beliau menegaskan, hak pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bukan perkara baharu dan tidak seharusnya dipersoalkan hanya kerana ia membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
“Kenapa Najib tak boleh dan orang lain boleh? Bagi saya itu adalah double standard,” katanya dalam temu bual bersama The Rakyat Insight ketika mengulas isu pelaksanaan tahanan rumah Najib.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib, membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antaranya kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64.
Neow berkata, tidak wajar timbul perbandingan antara kesalahan yang dilakukan oleh seseorang apabila membincangkan hak mendapatkan pengampunan kerana setiap kes tetap tertakluk kepada proses perundangan.
“Kalau kita lihat Perdana Menteri sendiri pun pernah menjalani hukuman penjara dan pernah menerima pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Bagi saya salah tetap salah. Dalam undang-undang semuanya adalah adil dan saksama,” katanya.
Menurutnya, Najib juga sudah melalui proses kehakiman dan menjalani hukuman berhubung sabitan kes SRC International sebelum keputusan pengampunan bersyarat dibuat.
Beliau berkata, pengampunan bukan mekanisme eksklusif untuk golongan kenamaan atau pemimpin politik, sebaliknya merupakan ruang yang tersedia dalam sistem perlembagaan kepada mereka yang memenuhi proses ditetapkan.
“Dalam konteks Lembaga Pengampunan, itu adalah ruang terhadap semua rakyat Malaysia. Sesiapa sahaja yang dirasakan layak dan mahu diangkat untuk proses pengampunan boleh diangkat.
“Tidak ada kata untuk VIP sahaja,” katanya.
Neow turut menolak pandangan bahawa keseluruhan tanggungjawab terhadap keputusan itu perlu diletakkan kepada seorang individu, dengan menegaskan proses pengampunan membabitkan Lembaga Pengampunan serta peruntukan perlembagaan.
Katanya, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mempunyai keanggotaan yang melibatkan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan, Peguam Negara serta anggota lain, sebelum perkara berkenaan dipersembahkan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong, manakala prosedur berkaitan dilaksanakan melalui mekanisme Lembaga Pengampunan.
“Kalau Peguam Negara merasakan perkara ini tidak wajar, kenapa nak diangkat kepada pertimbangan Yang di-Pertuan Agong?
“Maksudnya kita mempertikaikan proses dan prinsip Perlembagaan kita sendiri. Itu tidak wajar,” katanya.
Neow berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan perlu dihormati selagi ia dibuat dalam kerangka perlembagaan.
“Kalau Yang di-Pertuan Agong, Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan, terimalah. Siapalah kita nak mempertikaikan?
“Adakah kita ini nak menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong yang bercanggah pula dengan Rukun Negara kita, Kesetiaan kepada Raja dan Negara?” katanya.
Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa pendiriannya memihak kepada Najib, sebaliknya menegaskan pandangannya berasaskan prinsip kesamarataan dari sudut undang-undang.
“Saya bukan nak memihak kepada sesiapa, tetapi kalau kita nak cakap pasal undang-undang, biar kita adil dan saksama.
“Tidak ada prinsip, ‘oh, salah ini lebih ringan, salah ini lebih berat’. Siapalah kita nak menentukan salah siapa lebih ringan dan berat?” katanya.
Pada masa ini, pelaksanaan tahanan rumah Najib masih tertakluk kepada proses pentadbiran dan syarat yang ditetapkan.
Jabatan Penjara sebelum ini memaklumkan pihaknya masih menunggu pemakluman rasmi bertulis sebelum mengambil tindakan lanjut, manakala Jabatan Peguam Negara menyatakan prosedur operasi standard berkaitan tahanan rumah akan dimuktamadkan selepas surat rasmi diterima.
Neow turut menyeru supaya isu berkenaan tidak terus dipolitikkan sehingga menghakis keyakinan terhadap mekanisme perlembagaan yang sedia ada.
“Adakah sebab dia melibatkan Najib, kita nak politicize perkara ini? Bagi saya itu tidak adil,” katanya.










