Annuar Musa Sifatkan Khairy Layak Malah Berani Bertanding di Sungai Buloh

SUNGAI BULOH: “Benih yang baik insya Allah dicampak ke laut bakal menjadi pulau,” demikian kata Tan Sri Annuar Musa mengulas mengenai Khairy Jamaluddin yang mempunyai keberanian untuk bertanding di kawasan ‘hitam’ terutama di Parlimen Sungai Buloh.

Annuar berkata, tidak banyak pemimpin termasuk menteri yang berani ‘terjun’ ke kawasan seumpama ini.

Tambah beliau, kita telah menyaksikan kekalahan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti berpuluh ribu di Sungai Buloh.

Annuar turut menyifatkan Khairy layak mewakili pengundi Sungai Buloh kerana telah memegang beberapa portfolio dalam Kabinet.

“Sekarang kita perlukan pemimpin yang berkualiti untuk Malaysia. Calon ini (Khairy) sudah terbukti beberapa kali boleh buat kerja, berprestasi, boleh act local, boleh act international bagi portfolio apa sekalipun boleh dikendalikan dengan baik sebab akhirnya stakeholders adalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar hari ini untuk memberi sokongan kepada Khairy.

Mereka hadir di Program Penyampaian Peranti Komuniti di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Taman Saujana Utama kemudian bertemu pengundi di Central Mart.

Dalam pada itu, Noh Omar yakin calon baharu di Sungai Buloh yang diketengahkan oleh BN kali ini iaitu Khairy dan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Ismail di Kuala Selangor akan mampu membantunya membawa perubahan kepada BN Selangor.

“Dengan kredibiliti Khairy dan popularitinya, saya yakin Sungai Buloh akan menang. Selain Khairy saya juga bawa Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Kuala Selangor.

“Jadi dengan adanya gandingan muka baru ini mereka bukan sahaja mampu membuat perubahan di negeri ini dan pembaharuan BN di peringkat pusat,” ujarnya.

 

BBerkaitan

Latest articles