Ahmad Zahid Sifatkan Tuduhan Liar Mahathir untuk Lencong Isu Pejuang

BAGAN DATUK: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyangkal dakwaan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mendakwa kononnya, dirinya mempunyai pakatan sulit bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid menyifatkan tuduhan liar yang dibuat Mahathir itu hanya untuk melencongkan isu sebenar dialami dirinya termasuk Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

“Dr Mahathir ini sering merasakan dirinya semuanya benar, spekulasinya kononnya benar. Beliau melakukan telahan sedemikian kerana beliau khuatir parti itu mengalami kekalahan yang teruk.

“Beliau juga sudah ditolak partinya sendiri dan ditolak parti gabungan lain. Tentunya beliau tidak boleh mengharapkan lagi jenama yang mahu dijual apabila parti baharu dan gabungan parti baharu itu ditubuhkan dan rakyat mengetahui penolakan terhadap Tun Dr Mahathir.

“Itu bukan hanya berlaku di Langkawi (kerusi disandang Dr Mahathir) tetapi di seluruh negara. Jadi mereka merasakan diversion of isu (pelencongan isu) sentiasa menjadi keutamaan,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk dakwaan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) kononnya Anwar Ibrahim akan membantu menggugurkan kes mahkamah yang dihadapinya dan membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari penjara sekiranya disokong menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga calon kerusi Parlimen Bagan Datuk, menegaskan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih kekal sebagai calon tunggal Perdana Menteri jika BN menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun begitu, beliau berkata, pemilihan akhirnya tertakluk kepada perkenan yang Yang di-Pertuan Agong.

“Buktinya anda boleh lihat poster dan papan iklan beliau (Ismail Sabri) di mana-mana termasuk di Bagan Datuk, katanya.

Beliau berkata demikian menjelaskan mengenai jawatan Perdana Menteri yang dicalonkan oleh UMNO dan BN.

BBerkaitan

Latest articles