Kerajaan BN tidak akan sesekali pinggirkan Masyarakat Orang Asli – PM

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali meminggirkan Masyarakat Orang Asli seperti mana dilakukan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, pembangunan infrastruktur, pendidikan dan pendapatan menjadi tumpuan utama kerajaan untuk Masyarakat Orang Asli.

Kesungguhan itu katanya, dapat dilihat menerusi pembentangan Bajet 2023 yang mana kerajaan menyediakan peruntukan khusus untuk pembangunan infrastruktur Masyarakat Orang Asli, iaitu sebanyak RM305 juta berbanding RM274 juta tahun lalu.

“Menyentuh soal fokus pembangunan infrastruktur di perkampungan Orang Asli, kita tahu banyak yang perlu dilakukan lagi terutamanya di kawasan perkampungan Orang Asli melibatkan kampung serpihan.

“Kampung serpihan menjadi masalah besar ialah kerana kadang-kadang mereka bina kampung baru di kawasan terpencil. Tak macam Kampung Sungai Tuang ini, kampung dah besar, dah cantik dengan infrastruktur dan sebagainya. Jadi itu banyak kampung-kampung baru yang kita perlu bangunkan lagi,” katanya ketika sidang media selepas menyantuni pengundi Orang Asli di Sungai Tuang pada Ahad.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan juga menitikberatkan isu pendidikan anak-anak Orang Asli agar mereka tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan yang baik.

Beliau percaya, pendidikan adalah platform terbaik untuk seseorang mengubah nasib diri dan keluarga ke arah lebih baik.

“Fokus kita pendidikan yakni untuk mengurangkan keciciran di kalangan masyarakat Orang Asli dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah ke peringkat lebih tinggi. Malah di bawah MARA misalnya ada program khas untuk menghantar anak-anak Orang Asli ke luar negara dengan biasiswa penuh dan sasaran kita 10 orang setiap tahun,” ujarnya.

Seterusnya, beliau juga mahu meningkatkan pendapatan Orang Asli dengan melaksanakan Projek Tanaman Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit.

“Bajet 2023 juga diperuntukkan membangunkan usahawan di kalangan belia masyarakat Orang Asli menerusi peruntukan khas, latihan kemahiran dan untuk kita bangunkan masyarakat Orang Asli.

“Itu bezanya waktu PH mereka ‘downgrade’ JAKOA, sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Perpaduan akibatnya fokus sangat kurang kepada Orang Asli. Apabila kita ambil alih letak balik JAKOA di bawah KPLB,” jelas Ismail Sabri.

BBerkaitan

Latest articles