Charles ‘Bahasakan’ Anthony, DAP Tak Pernah Maklumkan 2018 PRU Terakhir

KUALA LUMPUR: Belum reda isu Wong Tack, kini DAP dihimpit pula dengan kritikan penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago yang mendakwa parti itu langsung tidak pernah membangkitkan kononnya PRU14 pada 2018 lalu adalah medan terakhirnya sebagai wakil rakyat.

Sehubungan itu Charles mengingatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya tidak mencemarkan intergriti beliau dalam usaha mengurangkan kesan akibat pengguguran dirinya sebagai calon pilihan raya.

“Tolong jangan cemarkan integriti saya untuk menguruskan tindak balas.

“Biar saya jelaskan perkara ini: Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak pernah memaklumkan kepada saya bahawa 2018 akan menjadi kali terakhir saya akan diletakkan sebagai calon,” ciap Charles di Twitter.

Charles berkata beliau menyertai DAP kerana berasakan parti itu adalah pilihan terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Apatah lagi penyertaannya ke dalam politik hanyalah untuk memperjuangkan agenda rakyat dengan menjadi suara kepada mereka.

“Izinkan saya meluruskan rekod: Saya memasuki politik semata-mata untuk memajukan agenda rakyat dan memberi suara kepada mereka yang tidak boleh bercakap untuk diri mereka sendiri.

“DAP adalah platform yang saya pilih dan ia adalah platform terbaik untuk saya berbuat demikian, yang mana saya amat bersyukur. Saya bukan dalam politik untuk membina puak saya,” katanya.

Kritikan Charles menyusul selepas Anthony, menerusi satu wawancara mendakwa Charles sudah tahu PRU14 adalah penggal terakhir beliau.

“Charles telah difahamkan yang 2018 adalah penggal terakhirnya sebagai calon. Dia telah diberitahu pada masa itu (itu penggal terakhirnya),” kata Loke dalam wawancara dengan Malaysiakini di ibu pejabat DAP semalam.

Rabu lalu, DAP mengumumkan ADUN Kota Kemuning, V Ganabatirau akan menggantikan Charles sebagai calon di Parlimen Klang pada PRU15.

BBerkaitan

Latest articles