Menangkan BN Di Sabah Supaya Peruntukan Besar Bajet 2023 Dilaksanakan

KIMANIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pengundi Sabah terus memilih Barisan Nasional (BN) dalam PRU15, supaya peruntukan besar untuk negeri itu seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2023 boleh dilaksanakan.

Malah sokongan rakyat Sabah akan menjadi penentu kemenangan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi rakan kerjasama di negeri ini.

Beliau memberi jaminan kerajaan akan meneruskan pembentangan bajet yang sama jika berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan meluluskannya demi kepentingan rakyat, termasuk di Sabah.

“Kuasa terletak pada rakyat 19 November ini untuk menentukan, sama ada bajet dapat dibentang atau dirombak orang lain. Bajet yang baik untuk rakyat ini harus dilaksanakan dan ia hanya boleh direalisasikan dengan mengundi BN.

“Kita akan teruskan dengan pembentangan bajet yang sama, kita akan luluskan demi kepentingan rakyat,” katanya pada Program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Zon 3 Sabah, hari ini.

Terdahulu program berkenaan dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dalam pada itu melalui Bajet 2023, Sabah akan menerima peruntukan pembangunan RM6.3 bilion bagi projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan, kenaikan sebanyak 20.45 peratus berbanding RM5.2 bilion pada bajet tahun ini.

Kerajaan turut memperuntukkam RM1.2 bilion untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif bagi menggantikan bangunan kayu lama demi keselesaan murid di Sabah dan Sarawak yang membabitkan 123 projek di Sabah.

“Sebanyak RM420 juta juga disediakan bagi baik pulih hospital dan klinik daif termasuk penggantian alatan usang di kedua-dua negeri, Sabah dan Sarawak serta RM209 juta untuk subsidi perkhidmatan udara bagi yang menetap di kawasan pedalaman.

“Bajet tahun depan turut menyediakan peruntukan RM430 juta bagi membina sekolah baharu di seluruh negara, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu di Sabah pada tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO berkata jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah juga akan diteruskan pada tahun depan dengan sasaran siap pada 2024.

Pada masa sama, katanya, liputan internet di Sabah akan ditingkatkan lagi melalui projek sambungan Jalinan Digital Negara (JENDELA) berjumlah RM180 juta.

Inisiatif itu, katanya, bagi menyelesaikan sepenuhnya isu liputan digital di Sabah yang kini mencapai 87.5 peratus, manakala bagi projek-projek luar bandar pula, sebanyak RM834 juta diperuntukkan.

“Selain itu, Sabah juga mendapat bayaran daripada PETRONAS sebanyak RM3.226 bilion, selain RM1.991 bilion cukai jualan petroleum, menjadikan jumlahnya lebih RM5 bilion.

“Kita juga bersetuju setiap projek baharu di Sabah yang membabitkan pembangunan minyak dan gas, kerajaan Sabah akan terbabit sama dengan PETRONAS melalui ekuiti dalam setiap projek.

“Sebelum ini tidak pernah berlaku dan kita berikan sebahagiannya. Insya-Allah kita akan beri lagi apa dipersetujui,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles