Azmin Usah Syok Sendiri, Selangor Kini Lebih Baik Dari Dulu – Amirudin

 

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membidas dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya prestasi kerajaan Selangor semakin teruk selepas beliau melepaskan jawatan itu.

 

Amirudin mendakwa sejak Azmin meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi negeri itu meningkat baik, malah Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor kepada Malaysia meningkat, begitu juga dengan program-program kebajikan kepada rakyat juga bertambah.

 

“Selangor makmur bukan hasil kejayaan seorang individu sahaja tapi usaha berpasukan,” katanya menerusi Twitter.

 

Terdahulu Azmin mendakwa prestasi Selangor merosot selepas meninggalkan Pejabat Menteri Besar pada 2018.

 

“Lepas saya tinggal (jawatan menteri besar) nampak merosot prestasi (Selangor).

 

“Jadi tanggungjawab saya mahu mengekalkan kecemerlangan Selangor supaya Selangor akan terus membangunkan memberi manfaat semua rakyat Selangor dan kita dapat menjalin satu kerjasama baik dengan kerajaan negeri dan persekutuan,” kata Mohamed Azmin yang dilaporkan oleh Astro Awani.

 

Dalam ciapan yang sama, Amirudin turut berkongsi graf sumbangan KDNK Selangor yang meningkat berperingkat-peringkat kepada 24.8 peratus pada 2021 berbanding 23.2 peratus ketika Mohamed Azmin menjadi menteri besar pada tahun 2017.

 

Prestasi itu hampir suku daripada sumbangan kepada KDNK negara.

 

Pada tahun lalu, sektor pembuatan negeri Selangor merekodkan 32 peratus daripada KDNK tertinggi di Malaysia.

 

Selangor juga mencatatkan 26 peratus KDNK dalam sektor perkhidmatan, juga tertinggi Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles