Dusuki, Hannah Tiba Istana Negara, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Najib Jadi Tumpuan

KUALA LUMPUR: Perhatian kini terarah ke Istana Negara apabila kenderaan yang dipercayai membawa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dikesan memasuki kompleks berkenaan pagi ini.

Kenderaan membawa Hannah dilihat tiba sekitar jam 7.48 pagi sebelum disusuli kenderaan Mohd Dusuki kira-kira 10 minit kemudian.

Kedua-duanya dipercayai memasuki Istana Negara menerusi Pintu 2 bagi menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 pagi.

Mesyuarat berkenaan dijangka dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Perkembangan itu menjadi perhatian susulan laporan semalam bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadualkan bersidang semula hari ini, selepas mesyuarat yang sepatutnya berlangsung minggu lalu ditangguhkan.

Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan menjadi satu-satunya perkara yang disenaraikan dalam agenda mesyuarat kali ini.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung berlangsungnya mesyuarat berkenaan atau perkara yang dibincangkan.

BBerkaitan

Latest articles