SEREMBAN: Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan tidak akan meneruskan sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap Proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dikaitkan dengan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Keputusan itu dibuat selepas pentadbiran negeri mengambil kira pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proklamasi berkenaan tidak sah serta tidak mempunyai asas untuk dilaksanakan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Dalam kenyataan, Pejabat SUK Negeri Sembilan berkata perkara itu turut dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil selaras dengan undang-undang semasa dan UUTKNS.
“Pentadbiran ini akur dengan pandangan AGC bahawa ahli-ahli MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi tersebut,” menurut kenyataan itu.
Pejabat SUK turut menegaskan tiada asas undang-undang untuk MMKN bersandar kepada proklamasi 19 April bagi melaksanakan sebarang tindakan susulan.
Justeru, berdasarkan keseluruhan kenyataan AGC pada 17 September, pentadbiran negeri memutuskan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi berkenaan kerana tindakan sedemikian akan menjadi tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.
Perkembangan itu secara langsung menyusuli kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, sebelum ini bahawa MMKN telah memutuskan secara sebulat suara mengenai Surat Cara Proklamasi dan mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri meneruskan proses pewartaan mengikut peraturan sedia ada.
Namun, AGC pada 17 September menegaskan proklamasi bertarikh 19 April itu tidak sah kerana gagal mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.
AGC juga menyatakan tiada keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada Tuanku Muhriz.
Lebih penting, AGC menegaskan Menteri Besar dan MMKN tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Kesahan serta kesan proklamasi itu, menurut AGC, perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.
Sementara itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah serta menolak dakwaan wujud kekosongan jawatan berkenaan. DKU berkata MMKN dan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi tersebut.










